MENJANA KEMENANGAN BA DALAM TAHUN 2004 |
Oleh Tarmizi Mohd Jam
Kemenangan UMNO dan BN dalam pilihanraya umum lalu tidak lagi bergantung kepada undi Melayu. Sokongan orang Cina dan India telah menyelamatkan UMNO dari berkubur. Kemerosotan jumlah ahli parlimen UMNO kepada 76 orang daripada 104 calon parti itu yang bertanding, membuktikan bahawa orang Melayu sudah tidak yakin lagi kepada UMNO untuk memerintah negara ini.
Kemenangan ini juga, terangka dari strategi “jahat” BN dengan menafikan hak ke atas 650,000 pengundi baru yang rata-ratanya mendaftar sebagai pemilih untuk menolak BN dalam pilihanraya itu. Jika mereka dibenarkan mengundi, BN dan UMNO sudah tentu gagal meraih 2/3 majoriti kerusi parlimen. Atau lain perkataan, BN dan UMNO tentunya sudah menjadi pembangkang hari ini!
Pada keseluruhannya, calon-calon BA telah mendapat sokongan padu daripada para pengundi Melayu. Kekalahan tipis mereka di kawasan-kawasan 60 peratus Melayu adalah akibat undi bukan Melayu yang merasakan mereka perlu menyelamatkan BN.
Sementara itu, pengundi-pengundi di kawasan 80 peratus Melayu seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah telah memperlihatkan bahawa UMNO sudah tidak lagi relevan untuk politik negara pada millennium baru. Kekalahan teruk UMNO di Kelantan dan Terengganu serta kejayaan PAS memperoleh kerusi di Kedah, Perlis, Perak, Pahang, Selangor dan Pulau Pinang membuktikan bahawa keyakinan orang Melayu sudah beralih, memilih BA.
Kepercayaan mereka terhadap “khurafat besar” kononnya hanya UMNO sahaja yang boleh memerintah di negara ini, hampir berjaya dilenyapkan. Ini telah menyebabkan UMNO secara “terpaksa”, terpaksa bergantung kepada undi bukan Melayu dalam meneruskan kesinambungan kuasanya memerintah Malaysia, sehingga mereka berjaya menguasai 72 kerusi daripada 148 kerusi BN di Parlimen.
Provokasi yang dilangsungkan oleh BN secara berkesan dengan “ugutan” yang bertalu-talu melalui media kuasaan mereka terhadap orang bukan Melayu telah menyeret DAP keluar dari sokongan mereka dan ramai calon-calonnya yang kalah teruk kepada calon BN. Tindakan biadap media massa mainstream ini, yang telah memomokkan para pengundi bukan Melayu dengan isu perkauman dan agama serta fitnah-fitnah kepada pemimpin alternatif telah membantu BN untuk mengaut kemenangan yang tidak bermoral itu.
Jika provokasi ini tiada, kemungkinan rakyat untuk melakukan perubahan terhadap kepimpinan negara, berlaku dengan selesa. Akibat provokasi itu, jumlah ahli parlimen UMNO dan ahli parlimen BN yang bukan Melayu seimbang. Ini menyebabkan, rakyat sangsi melihat masa depan politik orang Melayu akibat bargaining power ini. Ini bermakna, UMNO kemungkinan akan “menggadai” banyak kepentingan Melayu demi untuk mendapat sokongan pemimpin BN yang bukan Melayu, yang kini mulai dominan.
Kekalahan DAP telah pun menjanjikan kelemahan yang ketara kepada UMNO kerana meningkatnya jumlah ahli parlimen bukan Melayu dalam komponen BN. Namun begitu, kekalahan beberapa orang pemimpin UMNO yang bertaraf menteri dan timbalan menteri serta juga kemenangan tipis beberapa pemimpin kanan UMNO, jelas membuktikan bahawa rakyat telah menterjemahkan perasaan jijik mereka terhadap kezaliman, kerakusan, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa pemimpin BN.
PAS secara umumnya, yakin dengan perkembangan baru sikap orang Melayu terhadap UMNO itu. Keputusan pilihanraya di Sanggang tidak boleh jadi ukuran bagi membaca kecenderungan orang Melayu. Berikutan penolakan mereka terhadap UMNO dalam pilihanraya 99 itu, telah meyakinkan PAS sebagai parti saingan terdekat, bahawa karier politik UMNO yang kotor itu akan berkubur dan PAS akan tampil untuk mengambil-alih kepimpinan baru politik Melayu dengan cekap dan adil, pada masa depan.
Apakah yang hendak dibanggakan oleh BN, jika undi popular hanya berjaya diraih 56 peratus sahaja dari lebih tujuh juta orang pemilih yang keluar mengundi?
|